Tuesday, December 29, 2009

A WTF day before holiday.

WTF tragedy 1:        Ayang cakap ni berlian?? Kenapa pecah hancur macam ni??? Benci tau!

Hari dimulakan dengan PCR yang mengambil masa 2 jam 30 minit.

OK, bila dah selesai, CB loading lah produk ke dalam setiap lubang yang ada. Ala-ala menanam padi huma gitu. Kau korek lubang, kau masuk benih, kau korek lubang, kau masuk benih. Tak ke sakit pinggang kau, gile?

Entah kenapa, hari ini  macam pelik, gel itu terapung, tak macam selalu, elok je mendap kat dasar tu hah! CB tanya Rikus, juruteknik makmal yang kebetulan sedang sibuk buat-apa-pun-tak-tahu-lah. Rikus cakap, tak ada masalah. Jadi CB yang tak banyak pengalaman ni pun rasa tak ada masalah lah.

Dah siap loading, kena running pulak. Set power suply pada 105v dan tunggu lagi lebih kurang 30 minit.

Tik... Tok... Tik... Tok... (sungguh lame bunyi ni).

Lebih kurang 30 minit gitu, CB angkut gel tersebut sekali dengan moulder dia ke dalam tray sebab nak ambil gambar bawah sinaran ultra lembayung (istilah tak nak kalah nih! UV sudah..). Dalam 30cm lagi nak ke tray, boleh pulak gel itu tergelincir lalu menghempas kaki kerusi dan berpecah dua sebelum menghabiskan aksi berani-matinya di lantai. Oh tidak!!! Segala penantian dan penat lelahku!!! Hanjeng nyeeee....


Suspek kejadian!




WTF Tragedy 2:          Oppss.... Jatuh pulak... Sayang tak marah kan? Kan? Kan?

"Tak apa, CB. Tak apa. Ini dugaan tuhan terhadap hambanya yang terpilih". Tu dia, terpilih katanya.

Nak tak nak, terpaksalah teruskan jugak projek hari ni. Lagi pun dah separuh jalan. Macam kita tengah kencing jugak. Kalau tiba-tiba ada orang masuk toilet tengah kita syok-syok kencing, tak kan nak berhenti kan. Terus kan je lah. Tapi kalau orang tu tak reti nak keluar cepat-cepat, merasalah CB kencing kat muka dia! (Walaupun kaitan cerita dan perumpamaan itu sangat tipis, tapi tetap nak tulis jugak.)

Lepas dah potong-potong gel tu menjadi serpihan cinta, CB letak lah dalam EP tube. Tengah syok potong tu, tiba tiba macam tersilap label pulak. "Grrr... Tak pe lah. Nanti dah siap potong kita tengok balik, okeh sayang?".

Masa nak keluar dari bilik gelap, tangan CB penuh dengan agar tray, tube tray yang sarat dengan tube, pisau (mata dia baru tukar, okeh!) dan kertas segala. Tetiba! Time ni jugak lah tray tu nak ikut aksi gel tadi jatuh ke lantai... Habislah berterabur semua tube-tube CB tu. Dah lah silap label, lepas tu jatuh pulak. kalau jatuh tak berterabur tak pe lagi. (ada ke jatuh tak berterabur?). Dah tercampur-campur. Hanjengnye!!! Nasib baik pisau tu tak cucuk kaki CB ni hah!


 Buah hati pengarang jantung!




WTF Tragedy 3:       Alamak baby, ayang tertumpahkan kopi lah kat atas suit armani baby...

It took me almost an hour to figure out which is what! Barulah faham apa perasaan orang yang buat forensic accounting! Nama macam gah, tapi... hanya tuhan saje yang tahu penderitaan jiwa raga mereka. Sabar lah adik-adik, syurga menantimu di sana (motifff???)

DNA recovery ni leceh sikit sebab kena banyak centrifuge, kalu buat kasar-kasar nanti susah. Cross contamination lah, apa lah kan. Tengah tangan sibuk masuk kan tube ke dalam mesin tu, otak sibuk berfikir "Kalau aku buat video kerja-kerja aku yang bosan ni masuk youtube, agak-agak ramai tak yang view?". Boleh tak fikir macam tu? Sibuk mencari glamor ni!

Tiba-tiba. "Tap".

Ahhh, satu tube jatuh pulak, tumpah sampai separuh pulak tu! Hanjeng nye!!!


Bersepah, tak sistematik langsung!



P/s:
1. Kadang-kadang CB diam-diam panggil Rikus tu, tikus. Kahkahkah...
2. Esok CB nak ke Parits! Sambut tahun baru. Time Maal Hijrah, tak de pulak kau nak ke mekah segala! Grrr...

Monday, December 28, 2009

Antara Avatar dan Bas Henti-Henti

Uish, lama betul tak update blog. Tak ade idea lah nak tulis apa. Lebih separuh daripada jisim otak sudah di gunakan untuk proses pemerahan berkala. Ye lah, sekarang ni tengan tulis thesis. (Walaupun tak siap-siap, bencilah.).

Macam ni, tadi CB tengah basuh pinggan lepas makan malam  berlaukkan salmon dengan sos dill serta tidak lupa disertakan sekali cili potong. Tapi sejak guna beras pandan ni, nasi yang dimasak agak lembik, seakan-akan beras pulut! Memang menjijikkan. Masa sedang tekun basuh pinggan periuk segala tu tiba-tiba terfikir pasal kejadian di CineMec, selepas nonton Avatar. Filem termahal abad ini.

Oh, Pandora memang cantik. Bunga-bunga yang glow-in-the-dark, haiwan yang pelik dan sebagainya. Dalam pada itu, CB sempat berfikir "mesti seronok jika boleh ambil sampel nematodes di situ. Mesti banyak spesies baru." Sungguh membosankan bila fikiran itu datang tiba-tiba ketika waktu berhibur.


Cantik ke tidak spek itu? Channel tahu?


Jalan cerita yang terlalu cliche', sudah boleh di agak bila akan membelok ke kiri, bila akan ke kanan. Tiada apa yang baru dan segar selain daripada kesak khas (yang menelan kos terbesar) yang memang lah menarik dan canggih.

Apa yang CB nak kongsi disini bukanlah mengenai Avatar, semua orang boleh lihat dan nilai sendiri. Masing-masing akan punya pendapat dan pandangan berbeza. Tetapi ini mengenai Mak Cik Pemandu Dengan Basnya. Selesai menonton filem itu, jam menunjukkan pukul 12.25 tengah malam. Lebih kurang 8 minit macam tu, sebuah bas berhenti. Bas terakhir malam tu.

CB: Bornsesteeg please. Eh, mana pulak duit aku ni...
Mak Cik: .......
CB: (Alamak, hilang pulak duit aku ni. Hanjeng sangat).

Kawan CB: It's OK, I'll pay.

Seraya menguhulurkan sekeping note EUR20. Dengan kekwatnya Mak Cik itu menundingkan jari kepada notis yang tertera "Duit dengan nilai lebih EUR20 tidak diterima". CB agak-agak je lah, sebab dia tulis bahasa Dutch.

Kami berdua kaget, cemas. Kawan CB cuba menanya penumpang lain jika ada yang sudi menukar not EUR20 itu. CB tanya lah Mak Cik itu, "what could I do?". Dia boleh sekadar menjuihkan bibir dan mengangkat bahu.

Masa tu kami memang dah kehilangan punca. Takkan lah kami kena keluar daripada bas tu dan berjalan kaki pulang ke rumah. Dengan salji yang tebal dan suhu -2C! Tambahan pula, itu merupakan bas terakhir. Kami buntu.

Dengan semangat christmas (konon-konon lah), seorang lelaki tiba-tiba bersetuju membayar tiket kami berdua. Malu memang lah malu, tapi apa boleh buat? Tak kan lah CB nak berjalan kaki pulang. Silap silap, boleh kena pneunomia nanti. Atas jasa dan belas ihsan lelaki itu, kami berdua pulang ke sarang dengan selamat.

Tapi CB tetap tak puas hati. Apa yang Mak Cik tu fikir? Mengarahkan kami keluar daripada bas dan berjalan pulang? Dalam cuaca yang sejuk menusuk tulang itu? Jika jaraknya dekat, memang kami tak kisah. Teksi pula memang sukar diperolehi di kawasan itu. Tambahan pula sudah tengah malam!

Jika benar Mak Cik itu memang mahu menolong, dia dengan senang boleh menukarkan duit EUR20 itu. Selepas dia mengecop tiket lelaki itu, dipersoalkan lagi bagaimana jika ada yang datang memeriksa? Sebab lelaki itu akan turun 2 perhentian sebelum CB. Tapi permasalahannya, tidak pernah seumur hidup ada orang yang memeriksa tiket! Sudah larut malam pula tu. Nampak sangat Mak Cik itu tidak mahu kami menaiki bas tersebut. CB berangan-angan Mak Cik tu cakap "Hei sundal, kalau kau tu takde duit, buat-buat lah takde duit. Dah lah aku ni penat bawak bas sehari suntuk. Kalau aku tinggal kau kat sini, ada jugak hiburan untuk aku malam ni, Hahahaha!!".

CB tak pernah mengalami perkara yang sebegini sebelum ni. Biasanya pemandu bas lebih bertoleransi terhadap penumpang. Apa pun, CB ucapkan ribuan terima kasih yang baik hati itu. We wish you a merry christmas.

Sunday, November 22, 2009

Iklan Masa Kini

Kalau tengok betul-betul, CB rasa iklan-iklan sekarang makin pelik lah.


Iklan 1: Bank Rakyat
Seorang wanita memasuki rumah kawannya dan berkata:


"Oh, layan internet ye"
"Tak lah

Sambil melayari Internet Banking Bank Rakyat dan menjustifikasikan mengapa "Saya Mesti Pilih" Bank Rakyat.



Apakah??


Iklan 2: HSBC
Suasana mengambil tempat di meja makan. Si bapa kecewa kerana si anak membuat keputusan untuk meneruskan minat dalam bidang seni, bukan perubatan. Keesokan harinya, kita dapat melihat lukisan-lukisan (secara peribadi, CB sukalah lukisan pokok berwarna-warni tu) digantung di dinding, menggantikan sijil-sijil yang sebelum ini megah menghiasi bilik tersebut.


Kemudian, terdengar pula narrator berkata "anda mampu bersikap optimis jika pelaburan anda terurus".


apakah dengan kata lain:
"Lantak kau lah perempuan oi, kau nak melukis ke apa. Yang penting duit aku tengah beranak dalam HSBC tu ha. Kau berjaya bagus, kalu kau merempat aku tak kisah pun. Duit mak beranak, nyah".


Tak begitu ke?

Iklan 3: P1 wimax


"Abang dah potong kan?"

"Of course"


Oh em gee, I just loved it!


Iklan 4: Sejenis pencuci


CB tak ingat lah pasal produk dari syarikat mana. Tapi masih lagi ke udara.


Ianya menceritakan pasal luahan rasa seorang ibu tentang masalah kuman melanda dirinya dan keluarga.


"Saya suka mendekati alam, tetapi kuman boleh menjadi penghalang".


Jadi, apa yang kamu fikirkan? Tinggal di sebuah dunia yang bebas kuman? Uhm.. mungkin kamu boleh tinggal di dalam makmal atau pun laminar flow yang fully sterile. Atau mungkin kamu boleh tinggal di sebuah lokasi rahsia dalam cerita "The Island". Di mana semua orang memakai baju berwarna putih. Ingat tak?



Fakta Pantas I: Kanak-kanak yang terlalu dijaga semasa kecil akan menghadapi masalah imunasasi yang lemah apabila telah membesar. tetapi kanak-kanak yang dibiarkan bermain lumpur (dengan pengawasan ibubapa, sudah tentu) akan memiliki daya imun yang tinggi dan sukar dijangkiti penyakit.



Fakta Pantas II: Tahukan anda bahawa penggunaan sabun antibacterial sebenarnya tidak bagus untuk kesihatan? Terutama yang mengandungi Triclosan. Antara produk yang mengandungi bahan antimicrobial tersebut termasuklah: Colgate Total and Breeze among others.


Iklan 5: Badminton? Uhm.. Tak Kot.


Ingat tak sebuah iklan pasal sepasang kembar yang mempunyai kegemaran serupa. Formula 1 dan sebagainya. Termasuklah:


"Badminton? Uhmm... Tak kot".


Kemudian TV3 melalui Buletin Utama melaporkan sesetengah peminat badminton tidak boleh menerima iklan itu kerana dikatakan menyindir arena badminton negara. CB just like: What is wrong with you people?


Kadang-kadang orang-orang(an) macam ni memang susah nak difahami. Jadi CB ambil langkah mudah, biarkan si Luncai dengan labu-labunya.

Iklan 6: Milo


"Boleh ke saya belajar apa yang takde dalam buku"
"Boleh saya cari, apa yang diperlukan untuk terus maju?"
"Dan boleh saya...."


Boleh tak kau straight to the point? Kalau nak pergi bermain tu, cakap je lah nak pergi bermain. Pusing sini, pusing sana. Kau kenapa? Drama kuat!



Kadand-kadang menonton iklan memang seronok. Tapi kalau iklan lagi panjang dari cerita, CB pun naik angin juga.


Salam Sayang,


Tuesday, November 17, 2009

Kerana Pulut Santan Binasa

Kerana mulut, badan binasa.


Pernahkah anda mendengar pepatah lama tersebut? Ianya membawa nasihat bermakna agar kita menjaga tutur kata supaya badan kita tidak binasa dipukul ataupun hancur ditikam dan dicincang oleh orang telah terkena laser oleh kita. Boleh tak CB berangan jadi pengacara rancangan Wanita Melayu?


CB teringin lah nak berkongsi cerita yang berkaitan dengan pepatah tersebut. Tapi kisah CB ni lebih kepada kerana kata-kata, jiwa binasa. Cerita bermula begini ya...
(Loceng pari-pari berbunyi dan lampu dimalapkan. Prop bertukar.)


Kisah 1.
Kita semua mesti ada akaun email bukan? Paling kurang pun satu lah. Tapi ada jugak yang ada lebih dari satu. Mcm CB, ada beberapa akaun email. 1 untuk email yang bebas spam dan 1 lagi untuk laman-laman yang memaksa kita memasukkan email sebelum boleh meneruskan perjalanan meneroka laman web mereka. Contohnya laman web porno. Oppss!



Tetapi ada masalah dengan email ini (terutama penyedia murahan) yang aplikasi "Junk Email" nya sangatlah tidak boleh diharap. Saban hari lambakan email sampah bertimbun di dalam peti masuk. Konsep yang sarupa berlaku dengan email rasmi tempat CB bekerja.


Nak dijadikan cerita, CB telah terjumpa cara untuk memblok email sampah ini daripada menceroboh peti masuk kita. Jadi CB dengan niat yang suci menghantar prosedur memblok kepada "rasmi@blablabla.edu.my". TETAPI! Tetapi CB termaki pulak jabatan yang sepatutnya menguruskan logistik ICT di tempat CB berkerja itu dengan mengatakan mereka tak buat kerja (secara sinis). Sudah lah tu, CB siap forward kepada bos besar serta ketua-ketua jabatan. OOppsss... Ok, OK, CB tau kadang-kadang CB ni bersifat puaka.



Maka kecohlah satu tempat kerja pasal email CB yang tak sayang mulut itu. CB diserang (secara maya) oleh orang-orang di jabatan terbabit. Email CB diselongkar oleh mereka dan sebagainya. Maka kantoi lah pasal CB mengumpat bos besar! Haiyoo!! Ada juga yang hantar email memberi nasihat kepada CB agar lebih berhemat dalam menegur, kerana masyarakat kita mudah melenting apabila ditegur. Apatah lagi apabila ditegur secara sinis oleh pekerja junior bawahan macam CB ini. Tak kah mereka rasa terhina? Kaann...


Selapas kejadian itu, CB rasa amatlah bersalah karena telah mencetuskan huru-hara. CB rasa bersalah sebab ketua di jabatan terbabit bolehlah dikatakan agak rapat dengan CB. Mulut CB ni bolehlah dikatakan agak setaraf longkang juga. Tapi kemudian CB minta maaf kepada semua. Selesai.


Kisah 2:
Apakah CB yang bodoh kerana tidak belajar daripada pengalaman? Kisah kedua ini lebih kurang sahaja konsepnya. Tapi kali ini berkenaan Yahoo! Group dan forwarded emails. CB sebenarnya sangat benci apabila kita menerima forwarded emails yang terang-terangan adalah HOAX, yang sengaja direka-reka bagi menimbulkan sensasi dan kontroversi. Contohnya email pasal ramalan tsunami pada 22 July 2009, Bill Gates akan bagi upah duit kalau kita forward emails, sejadah duduk, manusia disumpah menjadi ikan sebab menderhaka kepada ibu dan sebagainya.


Apa yang CB marah dan kecewa apabila mereka terus-terusan memanjangkan email tersebut kepada semua walhal benda tu merapu dan palsu. Lagi-lagi di dalam group yang CB rasa dianggotai oleh mereka yang tinggi intelektualnya. Tetapi pada hemat CB, benda tu memang menjengkelkan dan SAMPAH! Junk!


Jadi CB pun ambil keputusan untuk menghantar email kepada semua ahli group berkenaan ketidakpuasan hati CB. Dan macam biasalah, mesti ada ayat-ayat laser yang pedas CB hamburkan dan juga justifikasi mengapa CB tak suka diforwardkan dengan email-email yang sebegitu rupa.


Tapi, CB silap. Cb ingatkan group yang CB join tu merupakan group rasmi dan formal. Rupa-rupanya tak lebih daripada group suka-suka yang diwujudkan untuk merapatkan hubungan sesama ahli, yang nampaknya CB tak layak pun menjadi ahli. Ada yang menunjukkan jalan keluar (leave group button), ada yang mempersoalkan samada CB percaya qada dan qadar, syurga neraka dan sebagainya (sejadah berdiri) dan ada yang masih percaya ramalan tsunami itu benar, mereka risaukan keadaan sanak saudara di Malaysia yang mungkin terancam nyawanya. For god sake! Can you please google "22 july tsunami"? And you will find the truth! Sigh...


Jalan keluar sudah ditunjukkan, jadi CB terus lah "leave group" itu. Tetapi hati CB berasa berat dan kecewa. Kecewa sebab CB buatkan mereka marah dan mempersoalkan siapa yang "promote" sebagai ahli group. Tentulah orang itu rapat dengan CB, baik dengan CB. Jadi CB rasa bersalah.


Hish, CB bencilah rasa bersalah ni! Ada tak cara menghilangkan rasa yang dibenci ini? Jadi CB ambil kesempatan ini dengan minta maaf pada Puan Hisfazillah Saari sebab beliaulah yang "promote" CB masuk group itu. Kalau Puan Hisfazilah kecewa dengan CB, CB mintak maaf.

p/s:
1. Untuk Kisah 1, selepas kes email CB tu, barulah jabatan tersebut terhegeh-hegeh memberikan tunjuk ajar (yang sepatutnya dilakukan lama dulu) kepada semua kakitangan mengenai cara menguruskan spam emails dan sebagainya. Improvement!


2. Update Kisah 2: CB terharu sebab Puan Hisfazillah memberikan back up baekk punya kat CB. Nyaris CB menangis di lab (kantoi melagha di lab) membaca email Puan Hisfazillah itu. Tapi CB tak tahulah apa yang terjadi dalam group tu sekarang, sebab CB dah tak jadi ahli lagi.


3. Kejadian ni bolehlah diibaratkan seperti mengalihkan batu di dasar gelas yang berkeladak. Sedikit sebanyak, keladak itu akan mengeruhkan air didalamnya apabila batu itu beralih, tetapi lama kelamaan, ianya akan kembali jernih. Walaubagaimanapun, tak bolehlah alih batu itu dengan kasar (sepertimana yang CB buat ni), sebab ianya akan menjadi sangat keruh dan sukar untuk jernih semula. Tapi, apakah kita akan biarkan batu itu disitu demi kerana untuk mengelakkan air menjadi keruh? Walaupun kita tahu, batu itu akan terus menjadi masalah? Tidak buat CB.


4. Namun cara yang lebih diplomatik adalah dengan mengamalkan konsep menarik rambut di dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berselerak. Tapi berkurun-kurunlah baru selesai masalah.



Cubit-Cubit Manja,


Sunday, November 1, 2009

Ya ALLAH, inikah petunjukMu?

Assalamualaikum w.b.t.

Pertama sekali, tujuan CB tulis entri ini bukanlah untuk membuka pekung di dada, tetapi sekadar untuk berkongsi. Dengan sesiapa sahaja yang sudi membaca.

Semalam sebelum tidur, tiba-tiba terdetik di fikiran yang CB sudah hampir lupa bagaimana membaca ayat qursi. Astaghfirullahalazim...

CB cuba membacanya berulang kali. Tapi CB hanya mampu teruskan sekadar separuh. Tidak sempurna lagi bacaan CB itu. Berkali-kali diulang sehinggalah CB tertidur... Memasuki minda separuh sedar, CB berada di rumah. Terengganu.

Suasana di rumah ketika itu gelap. Kelam. Sepi. CB seorang diri... Tapi hati CB ketika itu berasa gentar dan takut. Jiwa CB tak tenteram. Hati CB berbicara sendiri. Bahawa lain kali CB tak akan tidur di rumah seorang diri lagi...

Kemudian, plot bertukar. Masih dirumah yang sama, malam. Tiada sebarang cahaya di rumah ketika itu. Tapi CB dikelilingi adik beradik. Kami memegang erat tangan satu sama lain. Kemudian bagaikan mencari sesuatu, kami berjalan menuju ke dapur rumah. Di sebalik dinding, kami terlihat sekujur tubuh, di dalam kedudukan tahiyat akhir sedang berzikir. Badanya diselimuti telekung putih.

Dengan serta merta kami tahu, itu ibu. Tempat itu, tingkat atas rumah CB adalah tempat ibu selalu menunaikan solat. Setiap hari... Tapi itu beberapa tahun yang lalu. Tiada sesiapa yang pernah naik ke bahagian itu lagi sejak ayah ubahsuai rumah di bahagian bawah.

Kami, berpegangan tangan menuju ke arah ibu. Wanita separuh abad itu berpaling kepada kami. Mukanya suram dan sedih. Dia berkata:

"Dulu ketika aku bangun untuk solat subuh, mata ini selalu melihat kamu anak-anakku bergelimpangan tidur..."

Kemudian anak saudara CB mencelah, bertanya kepada ibunya:

"Bercakap dengan siapa? Tak nampak sesiapa pun? Dengan hantu ke?"

Hati CB ketika itu meronta-ronta ingin pergi dari situasi itu... CB takut.
Kemudian CB terjaga.

Serta merta CB beristighfar, berzikir dan cuba untuk tidur semula. Syukur masih tahu beristighfar. Tapi mata ini enggan tertutup. Minda ini masih bergolak dengan pengalaman tadi.

Kemudian CB terdetik, sudah lama telinga ini tidak didengarkan bacaan ayat-ayat suci, memuji Mu. Sudah lama lidah kurniaanMu ini tidak CB gunakan untuk mengalunkan wahyumu... CB hanyut... CB alpa di dalam kehidupan dunia...

Sudah terlalu lama telinga ini disuap lagu-lagu yang melalaikan. Lidah ini menyanyikan irama yang lagha... Hati CB kotor. Roh CB kebuluran. Tiada santapan rohani untuk jiwa CB...

Bingkas CB bangkit dan memasang bacaan Yasin dan ayat qursi sambil menaip entri ini...

Hampir setahun yang lalu, CB juga pernah mengalami mimpi yang juga pelik. Di mana suara lelaki yang sangat kuat menjerit kepada CB:

"Yaaa... Muhammad!!!"

Di saat itu juga CB terjaga. Hati CB berdegup kencang...

Apakah ini petunjukMu ya Allah?

Subhanallah...
Astaghfirullahalazim...

Ampunkan dosaku... Sesungguhnya selama ini aku alpa, selama ini aku lalai, selama ini aku hanyut dalam kesenangan dunia. Aku tenggelam dalam rahmatMu tanpa tahu berterima kasih kepadaMu...

Ampunkan aku Ya Allah...

Tuesday, October 27, 2009

Hah? Bulu Hidung Gugur???

Haiyoo..
hari ni CB mula masuk lab.

Segala sampel tanah yang CB beria korek kat Terengganu dulu tu sedia dianalisis.

Sebab benda yang CB nak cari tu dalam larutan bercampur tanah dan kotoran, CB kenalah pancing keluar dulu, letak atas slaid dan perhati bawah microscope.

CB pun carilah alat untuk memancing tu berupa lidi sate yang diruncingkan. Cari punya cari, barulah perasan rupanya satu bikar penuh, depan mata CB je. Punyalah buta CB kan. Tetapi... CB pelik.

Kenapa kat hujung tu ada mcm bulu sesuatu yang berwarna putih? Tak kan bulu mata kot, sebab bulu mata tak sekasar ni. Pastu warna putih pulak. Setahu CB, tak ada sesiapa yang albino ataupun blonde kat lab ni.
Takkan lah... Tak pe, CB. Jangan waswas.

CB pun teruslah memancing dengan syoknya. Sebab bulu tu runcing dan keras. Jadi senang kerja CB. Tapi CB gatal mulut lalu bertanya:

"Honey, what kind of hair is this?"
"Oh, pig's hair"
"..."


CB masa tau tu.. pasrah je lah kalau macam ni. Takkan CB nak buat drama swasta meraung dekat semua orang di lab "sesungguhnya adalah najis bulu babi ini, ye para hadirin sekalian".

Jadi CB mengambil langkah terbaik dengan melemparkan senyuman sahaja dan berlagak "cool" kepada pekerja makmal itu. CB kena guna sebab benda itu sahaja yang ada ketika itu.

Jadi apa salahnya kita guna sahaja bulu babi itu tanpa banyak soal, dan samak lah selepas guna.

CB lebih cenderung untuk berhati-hati apabila berkaitan sensitiviti agama ni dan tak cepat melatah. Nanti CB cerita lagi kenapa di lain entri. CB sentap, noq!

Sunday, October 25, 2009

Sebulan di Malaysia: Kisah 2


CB tiba di KLIA pukul 11.00am. Flight seterusnya pukul 4.30pm.

TETAPI!

Tetapi CB tetap gigih ke Pasar Seni (CM) untuk membeli cenderamata barang seketul dua untuk supervisor dan kawan-kawan di lab. Eh, kuat sangat ke kipas CB ni, lite-lite je kan?

CB sampai di KLIA pukul 2.30 dari CM. Masa tu Rais dan Nana (nama seakan-akan benar) dah tunggu.

CB, ko kena boarding pukul berapa”, tanya Rais.

Alah, flight aku pukul 4. Sempat lah ni. Jap aku cek eh

….
….

Ya ALLAH, tolong Nabila ya ALLAH! Nabila kena boarding di LCCT pukul 2.30pm!!!”. Masa tu memang pukul 2.30pm dan CB masih di KLIA. Dalam kepala dah terbayang kena beli tiket baru dek dinafikan penerbangan!

Maka seantero alamlah bergoncang dan gegak gempita bagai kiamat adanya. Dengan 3 makhluk bermaraton menuju ke LCCT! Naik lif ini, naik lif itu, lalu sini lalu sana. Sekalian alamlah melihat tingkah 3 makhluk tuhan yang tak semenggah berlari tak ingat akhirat ni.

Berterima kasih kepada skil pemanduan mantap Rais dan mata Nana seumpama mak ayam mencari anak ikan, kami sempat tiba di LCCT tepat jam 2.50pm. Gila tak? Memang kalau Michael Schumacher (relevan lagi ke contoh ni?) ada masa tu, nescaya keluar air mata darahlah beliau melihat ketangkasan Saudara Rais memandu.

Sebaik saja tiba di LCCT, terus mengheret beg seberat 23kg dengan kelajuan cahaya pelita ayam. Lepas drop in beg barulah ada ruang untuk tarik nafas. Barulah ada peluang nak bergambar-gambar segala. Tu pun tak berapa meriah sebab masing-masing dah tak kuasa.

Tapi kan, CB tetap rasa bersalah sebab dia orang datang nak jumpa CB. Tapi kena bermarathon pulak.

Nana, sekarang kau dah tahu apa rahsia kekurusan aku kan?

p/s: Terima kasih kawan-kawan sebab datang hantar dan sudi bermarathon bersama saya.

Sunday, October 18, 2009

Sebulan di Malaysia: Kisah 1.

Beralun Mengikut Rentak


Lokasi: LCCT, Flight to London Stansted.


“You boarding pass and passport please, thank you”.


Oh, rambut baru ya! Kat dalam passport lain, kat luar lain. Hehehe…”


“Hehehe… rambut raya”. (Kurang ajar kau, ni mesti anak beranak Kumar – Sterward MAS yang pernah caras CB setahun yang lalu).


Ini merupakan suatu benda yang memang menangkap mata mereka. Rambut CB.


Baru je nak berangan jadi Nick Jonas ataupun Mika dah kena caras. So how? Kat sini, CB tak pulak kena caras, people just don’t care about how you look. You are free to play with your intuition, be it bold or lite-lite saje. Agak-agak lah kan, kalau CB buat rambut ala-ala Reshmonu macam mana pulak ya?



Cantik ke tidak rambut baru CB?



Masa di rumah, semua amboi... Bukan main suka lagi menyakat CB. Kalau bayi menangis bila CB nak dukung, mula lah ada halilintar bersuara:


"Mesti dia takut rambut kau tu"


Ada jugak yang cakap rambut CB ni baru lepas kena bom. Macam mana?


Tapi masa CB beli nasi kat kedai McFly (Budak UMT @ KUSTEM mesti tahu) makcik kat situ cakap:


"Wah, moleknye rambut dia kerinting gitu. Buak keda ke memang gitu?"
 (Wah, cantik yang amat rambut dia kerinting macam tu. Buat kat salon ke memang semulajadinya macam tu?)


Terus CB tersipu-sipu malu dan terfikir, apakah makcik ni peminat Mika? Tapi CB tak kuasa lah nak tanya kan.


Tapi CB tak kisah pun diorang usik (usik ke caci?) macam tu. Itu maknanya diorang tak pernah melupakan CB. Itu maknanya diorang ambil tahu pasal CB. Oh! Sampaikan orang yang CB tak kenal (tapi dia kenal CB lah) pun tegur rambut CB. Dia cakap dah lain, tak macam masa undergrad dulu. Popularkah CB? Oh!

Kalau bercakap dari sudut gaya dan fesyen, memanglah orang kat sini tak kisah.

TETAPI!!

Ya, ada tapinya. Kalau dari sudut keselamatan, jangan main-main OK. Sebelum CB mula bercerita, izinkan CB lap air mata dulu ya. Sob..sob…


Lokasi: Eindhoven Airport.


OK, masa tu CB kat kaunter emigresen. CB pun hulur lah paspot CB itu. Sekejap dia tengok paspot. Pastu dia tengok CB. Paspot, CB. CB, paspot lalu bersuara:


“You look different compared to this picture here”.



“Oh, yes. I know. My hair is much longer, I shaved my moustache and stubbles. Also with some accessories on my facial skin”. Merujuk kepada jerawat yang agak subur.


Nampaknya dia tak puas hati.


Dia bangun dari kerusi, undur beberapa langkah dan cuba mengamati muka CB.


“Can you please put your hair behind your ears?”.


“OK”. CB pun terus selit rambut celah telinga dan berangan cun yang amat.


“Uhm… how old are you?”


“Errr… 24? Eh, is it 24? Wait, 2009 minus 1985 is 24. Yes, I am 24.”


“You don’t know you own age?”


“Well, I was 23 for a year and is 24 for just about 2 months since August. I got confused sometime. Plus no one asking me that question for so long and I just hate being 24. And as a matter of fact, I feel like 18”. Sambil bercakap dengan gaya gangsta ghetto nigga.



Akirnya dia lepaskan CB. Tu pun lepas dia suruh CB posing-posing selit rambut dan tanya tarikh lahir CB.


Alahai…


Karena rambut.

Thursday, September 10, 2009

Bila Cik Benang Menampar

Salam all!


Kelmarin kawan Cik Benang, Bobby (seakan-akan nama sebenar) mintak kebenaran untuk guna entri Cik Benang pasal etika berfacebook untuk dimasukkan ke dalam majalah Cosmopolitan Malaysia. Cik Benang cakap, gunalah. Percaya tak? Kalau tak percaya, sila dapatkan edaran Januari 2020.

Terus Cik Benang berangan menjadi Rebecca Bloomwood dalam filem Confession of a Shopaholic. Dia ada kolum dalam majalah bukan? "Cik Benang in the Golden Songket". Boleh tak?


Kebelakangan ni Cik Benang sangat aktif bersukan. Semalam Cik Benang pergi sesi pengenalan untuk kelab mendaki IBEX, Kelab Alpine Pelajar Wageningen katanya. Cik Benang sangat cemerlang mendaki ala-ala monyet mencuri mangga di kebun Pak Hassan. Begitulah tangkasnya Cik Benang mendaki, kadang-kadang Cik Benang merasakan seperti demo tarian mengawan sebab adalah beberapa orang yang telah menawan hati Cik Benang. Hahaha...



Tanpa berlengah dan berfikir panjang, terus Cik Benang sign up untuk keahlian kelab tersebut. Selain baik untuk otot tangan dan kaki, Cik Benang yakin, ianya juga bagus untuk oblique inferior muscles, inferior rectus muscles serta juga saraf optik Cik Benang. Cik Benang memang yakin 100% pasal tu.


Kemudian hari ni (10 Sept) Cik Benang pergi pula ke kelas pengenalan bola tampar. Bukan apa, ini sebagai latihan untuk Cik Benang menempeleng dan menampar musuh-musuh Cik Benang. Jangan cari pasal ya, Cik Benang setaraf pemain bola tampar professional sekarang, walaupun baru sekali ke kelas pengenalan.


Mula-mula masuk gelanggang, Cik Benang agak lewat beberapa minit. Latihan dah bermula. Masuk-masuk je Cik Benang terasa kerdil OK. Cik Benang kecil hati sebab semua orang lagi besar dan lagi tinggi dari Cik Benang. Sedangkan Cik Benang hanyalah sehalus benang emas untuk menenun songket. Tapi walaupun begitu, Cik Benang bangga sebab Cik Benang emas, bukan benang kapas macam mereka.


Tapi...... saraf optik Cik Benang sangat sihat hari ini. Kalau buat ujian mata, pasti tiada masalah. Tapi, telinga dan otak Cik Benang agak bermasalah untuk proses apa yang jurulatih cuba sampaikan. Cik Benang rasa, Cik Benang tak keseorangan, ramai juga yang ala-ala pening-pening lalat. Jadi bukan salah Cik Benang ya.


Jurulatih: "Neem de bal!!"
Cik Benang: "Whattttt..."


Jurulatih: "OK Goed, niet het gaat!"
Cik Benang: ". . . "


Jurulatih: "Ik wil dat iedereen van dit loopt wijst naar het andere punt"
Cik Benang: -Pengsan-

Cuba teka, yang mana satu Cik Benang?
Lepas tu, Cik Benang lupa bawa kasut sukan yang sesuai, sebab Cik Benang fikir latihan akan bertempat di pasiran pantai. Rupanya dalam stadium. Habis berkematu jari Cik Benang sebab pakai Jimmy Choo buat berlari dan terkinja-kinja, and I'm thinking about suing them. Lawyers out there, do I have strong case here?


p/s: Percaya tak kalau Cik Benang cakap dalam gambar tu, yang tertiarap tu adalah Cik Benang?

Salam sayang,

Friday, September 4, 2009

Etika 2: Mencari Kawan

Ish, setiap kali ke tempat-tempat baru, mencari kawan adalah agenda wajib. Biasalah, manusia di kelaskan sebagai social animal. Jadi kemana-mana pun, mestilah bersosial. Berkawan biar seribu, bercinta biar satu (atau 2, atau 3 dan mungkin 4). Tapi selalu bagi orang-orang yang pemalu dan ayu macam Cik Benang, mencari kawan baru agak sukar.


Lagi-lagi bila Cik Benang terdampar sepi di bumi Belanda ni. Makin lah susah untuk Cik Benang mencari kawan. Kalau di Malaysia, Cik Benang boleh saja guna bahasa malaysia (Cik Benang prefer Bahasa Melayu) bertanya khabar, bergelak ketawa, menyundal dan sebagainya. 

Tapi di sini Cik Benang tak boleh... Cik Benang kena speaking London. Dahlah Cik Benang ni tak reti sangat berbahasa London ni. Kecek qlate, ganu boleh lah Cik Benang gagahkan. Tambah lagi bila orang-orang ni cakap bahasa ibunda. Kadang-kadang Cik Benang hanya mampu tersengih macam kerang busuk. Oh sedihnya...



Tapi Cik Benang sedar, kita kena berkawan. Barula ceria hidup. Kalau tak nak berkawan, sila cari gua dan tinggal di sana bersendirian dan tolong sign off dari senarai Homo sapiens ye. Terima kasih. Jadi Cik Benang nak kongsi tip cara-cara mencari kawan. Teruskan lah membaca ya.


1. Kata keju!
Senyum itu sedekah bukan? Tapi sila belajar cara senyum plastik yang tak nampak plastik. Kata orang putih, "smile with the eyes". Gitu. Sengih dan senyum berbeza ya. Bila kita selalu tersenyum, barulah orang disana rasa kita ni boleh didekati (approachable kata orang putih itu lagi) dan mesraaa (kata Bob AF). Bayangkan kalau kita jumpa orang yang mulut muncung macam _____ (sila isi sendiri), kau berani nak tegur orang tu? Kalau Cik Benang, ludah dan pergi. Macam konsep touch and go tu. Mudah bukan?



Cik Benang pernah ya, jumpa seorang lelaki yang tetiba saja maki komputer yang tak bersalah. Hanya sebab komputer tu di password locked (dikunci dengan kata laluan?) oleh pengguna lain. Orang cakap, kalau kita marah kat lembu, kita pun jadi lembu. Cik Benang terus menggulung mata (rolling eyes?) dan bergosip di dalam hati. Tak hendak Cik Benang berkawan dengan dia! Loser! (oopss... emosi puloks)

Senyum lah macam Latifah Omar, idola Cik Benang ni. Jangan main-main.


2. Awak, awak buat apa tu?
Dulu masa nenek Cik Benang selalu cakap; "Nang (ala-ala Saiful Nang), kita ni hidup kenalah give and take".
Ya, nenek Cik Benang boleh berbahasa inggeris.
OK, tipu.

Tapi kadang-kadang kita suka take saja. Susah betul nak give. Dalam konsep mencari kawan, kalau dia tak tegur kita dulu, salahkah kalau kita tegur dia? Tak dosa kan? Kena bayar ke? Bila kita dah senyum, dan dia pun senyum kat kita balik, tegur lah.


"Hi, how are you?" <-- yang ni Cik Benang selalu guna.

Hulurkan tangan dan berjabat mesra sambil memperkenalkan diri.
Tapi, sila hormati konsep personal space (sila google).


3. Hari ni cuaca agak mendung, bukan?
Buka topik perbualan dengan perkara-perkara santai. Dalam situasi Cik Benang, selalu jumpa di sekitar universiti, jadi topik kegemaran termasuklah:
  • Which course are you studying? What is your specialization?
  • Are you a second year or first year student?
  • Where are you from?
  • Where do you live?
Sambil berbual, sentiasa lah senyum dan pastikan muka penuh emosi (walaupun plastik).


4. Hahahaha... Kau ni lawak la, Cik Benang!
Semua orang sukakan lawak. Jadi kadang-kadang buatlah lawak. Tapi jangan buat lawak ala-ala Saiful Apek atau Nabil (dibaca: lawak bodoh) depan Cik Benang ye. Cik Benang alergik. Lawak, lawak juga. Tapi hormati sensitiviti orang lain dan tolonglah tiada lawak fizikal-sekeh-kepala-dan-pura-pura-jatuh-meja-berulang-kali ya. Kalau dia mulakan dulu, lain cerita.


5. Wow, cantikla lubang hidung awak, besar!

Pujian. Manusia suka dipuji. Bagi Cik Benang, manusia yang tak suka dipuji tu biasanya paranoid. Tapi kalau orang puji Cik Benang cantik dan anggun, Cik Benang memaang terus cakap "Thank you". Tak susah bukan? Tapi bila memuji tu, biarlah ikhlas.

Cari sesuatu yang boleh dipuji. Matanya kah, rambutnya kah, bajunya kah, kasutnya kah. Tapi janganlah nak puji setiap lima minit. Nanti masuk kategori kipas pula. Teknik pujian ni macam wine, minum sedikit-sedikit baru rasa nikmatnya. Kalau terlalu banyak sehingga mabuk tak ingat akhirat, maka hilanglah serinya. (apakah Cik Benang pernah minum wine?!)


6. Awak, boleh tak kalau saya nak...
Dah penat berbual, bergelak ketawa dan berkongsi idea? Apa lagi, minta lah nombor telefon. Dengan alasan, nanti kalau senang-senang, boleh lah kita berjumpa dan berborak lagi. Langkah nombor enam ni, Cik Benang tak selalu amalkan. Sebab apa? Sebab... Cik Benang tak sempat minta lagi, dia dah minta dari Cik Benang. Haish, susah jadi orang cantik dan anggun bukan? Oh!
Cik Benang pun hairan kenapa semua berebut nak nombor telefon Cik Benang

Lepas tu, selalu la keep in touch (berhubungan). Ajak lah dia keluar, ke supermarket ke, pasar ke, ataupun sekadar minum kopi di bawah perpustakaan. Kalau dia tak sudi, tak mengapa. Jangan lah bersedih dan menangis ala-ala Latipah Omar. Bukan rugi pun. Lain kali cuba lagi.


Senang bukan mencari kawan? Kamu nak tak kalau lain kali Cik benang buat entri pasal cara-cara mencari musuh pula?


Salam sayang,

Sunday, August 30, 2009

Etika: facebook

Bangun tidur, facebook.
Waktu makan: facebook.
Tunggu bas: facebook mobile.
Ber*k: facebook mobile.
Tengah malam: facebook.


Begitulah setiap hari. Kalau boleh setiap saat mahu bersama fecebook. Seronok bukan berfacebook? Tapi ada beberapa perkara yang bagi Cik Benang menjengkelkan selalu berlaku di facebook. Antaranya Cik Benang senaraikan seperti dibawah:


1. Sangat menjengkelkan bila page kita dipenuhi dengan nama "dia" sahaja. Segala jenis kuiz dia buat. Kemudian pos. Buat lagi, pos lagi. Sehinggakan sepenuh-penuh halaman penuh dengan nama dia. Oh, kau baru tahu kau ni sebenarnya -10% seksi? Eh, ye ke Norlia Ghani tu patut jadi teman wanita kamu? La, lepas kahwin kamu kena duduk rumah mertua ke? Ish..ish... Cucur udang memang sedap, tapi kalau sehari 5 kali, seminggu 35 kali makan cucur udang, sedap ke? Lama-lama kamu jadi udang harimau pula.



2. Segala apa yang dia buat, semua nak di tulis di status. Bertukar setiap 5 minit. "Mamato Marcello sedang memakai kasut untuk ke kedai Kak Jenab". Lima minit kemudian: "Mamato Marcello telah pulang dari kedai Kak Jenab". Motif?


3.  Memang seronok bila melihat gambar yang di muat-naik oleh kawan-kawan. Tapi kamu main muat-naik sesuka hati. Gambar nampak kuku kaki sahaja pun nak dimuat-naik, gambar yang kabur tak ingat pun di upload. Mungkin lain-kali lebih berhati-hati dan memilih gambar yang layak sahaja untuk dikongsi bersama rakan?



4. Lagi penyalahgunaan status. Seronok bukan kalau status macam ni: "Iqmal Hisham mahu membahagikan kekayaan, sila hantar nombor akaun kepada beliau untuk pindahan wang". Tapi kalau macam ni: "Iqmal Hisham sedang berak", "Iqmal Hisham sedang makan nasi". What the...


5. Jangan muat naik gambar yang menunjukkan nama penuh kamu, di mana kamu tinggal dan sebagainya. Siapa tahu, mungkin ada peminat rahsia tegar di luar sana yang ingin kan anda untuk.... better safe than sorry.


6. Kepada sesiapa yang sedang giat mencari kerja, berhati-hatilah dengan laman facebook kamu. Kerana sekarang majikan terutama syarikat antarabangsa menggunakan facebook sebagai salah satu cara saringan. Tidak bagus kalau bakal majikan lihat gambar anda berparti tak ingat akhirat, mabuk, dan sebagainya. Hati-hati ya.


7. "You have a friend request". Entah siapa-siapa la yang add (tambah?) tu, usahkan bercakap, jumpa pun tidak tak pernah. Mungkin ada yang akan cakap "Alahai Cik Benang tu, dah orang request tu, approve saja. Bukan kena bayar". Memang betul, tapi Cik Benang nak facebook Cik Benang hanya untuk kawan-kawan terdekat. First degree friends. Bukan sesiapa yang tiba-tiba merequest selepas melihat gambar Cik Benang yang tanpa seurat benang di facebook. Atau sekurang-kurangnya hantarlah mesej ringkas macam: "Hai, kau ni bekas kekasih aku yang ke-187 kan? Ingat aku lagi? Salam sayang, Mamato Marcello". Mudah bukan?



8. Semalam Cik Benang dan dia bergaduh pasal biskut yang mana lebih sedap. Chipsmore @ oreo. Tahu-tahu sahaja dia dah padam Cik Benang dari senarai pasukan kasukabe nya di facebook. Elok-elok perkara boleh diselesaikan, sekarang nak pinjam seluar kecil Cik Benang pun segan semacam. Once bitten, twice shy.

9. YanG INi TaK P3rLukAN PenJ3LaSan BUkaN? VEry SeLF 3XplAnAt0ry.  ToL0NG LaH, KeNApa ORanG sANGgup HaBIs Kan MASa bermAIN DenGAn CaPS L0CK?? DAn IanYA JUga SusAH diBACa!!! SiLA yA~!


10. Sayew tak sukew lew org yang tuelies macam innew. geliew taw.


11. "Mamato Marcello rasa ada sesuatu di dalam fikiran yang mengganggu..." Apa yang kamu mahukan dengan status ini? Perhatian? <-- matilah, kadang-kadang Cik Benang buat juga.


Tu je la yang Cik Benang nak tulis. Bila Cik Benang baca-baca balik, terkena jugak kat batang hidung sendiri. Hahaha...

Monday, August 24, 2009

If you're muslim, then you must be a terrorist!

Salam y'all.

Sekarang ni, suka ataupun tak Islam memang telah dipandang dengan tidak adil dan kadang-kadang penuh kebencian dan ketakutan. Sehingga tercipta istilah islamophobia. Semua nya berlaku selepas 9/11.

Aku ni bukannya apa, saja nak berkongsi satu pengalaman mengenai islamophobia ni. Tadi petang aku melibatkan diri sebagai co-facilitator untuk intercultural communication day. Nak dijadikan cerita (klise sungguh ayat ni), dijemput seorang penceramah daripada NUFFIC. Kita namakan dia Mr. Nuffic. Perjalanan cerita bermula apabila seorang lelaki berbangsa Belanda bertanyakan soalan mengenai islam kepada Mr. Nuffic ini.

Apa yang megejutkan, jawapan beliau sangat mengguris hati bukan sahaja pelajar beragama islam, malahan juga bangsa-bangsa lain yang mencintai keamanan dan perpaduan di situ (lagi statement cliche). Jawapan beliau yang mengaitkan islam dengan keganasan sangat mengecewakan dan memeranjatkan.

Keadaan menyebabkan seorang pelajar dari Mesir (juga co-facilitator) bangun dan secara terangan menjawab "I'm so sorry because I have to disagree with you, Mr. Nuffic". Beliau dengan panjang lebar menerangkan konsep islam yang sebenarnya. Perbahasan berlangsung selama 30 minit. Di penghujungnya, seorang pelajar perempuan daripada Belanda menambah:

"You are welcomed here and accepted"

Mr. Nuffic yang bermasalah (apa pun aku tak tahu) membidas;

"Yeah, right. But not all, only 80% of the people in The Netherlands"

What the.... I mean, he should say it in a diplomatic way. But he just being typical Dutch, straight forward and clearly talking through hat and his arse.

Perbincangan ditutup bukan dengan surah al-asr, tetapi pendapat daripada Mexico:

"I don't think you should ask that kind of question here. This is neither religion studies nor theology conference you stupid moron".

Nice, eh?

Baiklah, memang aku sengaja menambah 3 perkataan terakhir itu. Huuu....

Dalam perjalanan pulang ke apartmen, aku berborak dengan Anita (Indonesian). Beliau mengeluarkan statement:

"That was why I prefer not to show I'm a muslim. I don't like to tell people about my religion, about Islam. Because I have nothing to be proud of".

Uhm... sedih juga aku dengar kata-kata Anita itu... Tapi ada kebenarannya, dan ianya memang berlaku... Pendek kata, don't tell, don't ask. Sebelum berpisah beliau sempat menambah:

"However, I felt so guilty and bad because I didn't say anything to stand up for Islam during the discussion just now. I felt sad".

Sudah tentu, kita semua sedih dan kecewa.
Bukan?

Pengajaran hari ini:

1. Sila jangan mengamalkan konsep "Kalau daun, mesti warna hijau". Kerana kadang-kadang ada juga daun yang kurang klorofil, berwarna putih, ada yang berwarna kuning kerana karotenoid dan merah kerana banyak betalains.
2. Be proud of what you are. Because you are not only what you eat, but also what you believe.
3. Jagalah nama baik islam. Cukuplah dengan keganasan dikaitkan dengan kita. Tunjukkan lah warna islam yang sebenar.

Nota sampingan:

Tadi Lise, a french girl told me about wearing burqa' and scarf in the country. Sebenarnya bukan sahaja masyarakat islam, tetapi kristian juga tidak dibenarkan mempamerkan tanda salib, yahudi tidak dibenarkan memakai kopiah kecil mereka. Pendek kata, its not allowed to be different religion-wise there. So, totally it is not a discrimination. At least I think so.

What say you, fella?

Cabaran Marilah Berpuasa.

Hari ini merupakan ujian yang paling hebat melanda diri. Main beach volleyball dari pkul 1pm sampai 5pm. Tanpa henti. Yang itu, aku tak lah kisah sangat, tapi yang lagi menggelorakan jiwa apabila kiri-kanan orang menjamu selera dengan aiskrim yang pelbagai perisa. Dari lemon sampai la cornetto vanilla. Nampak kelibat orang minum air paip pun aku rasa macam nak pitam. Sakit pulak hati aku. Emcee pulak sibuk bagi pesanan dari semasa ke semasa: "Make sure you consume a lot of water in this hot weather to prevent dehydration". Terus aku pitam.

Ramai pula perempuan seksi berseluar di atas paras punggung dan t-shirt berkolar besar hari ini.... Ishh... sabar.. sabar...

Balik bilik, cek facebook dulu sebelum mandi ngan air bersuhu rendah lagi nyaman. Uish, memang feeling habis! Kalau boleh ke air terjun lagi syok ni (konsep diberi betis hendak paha). Lepas tu terus baring. Baru je nak terlelap, Puan Jannah pula tiba dengan se"pyrex" puding roti, nak pinjam oven katanya.

Jannah: Nanti lepas 30 minit, ko cek tau. Apa rupanya. Ke kau penat? (Pn. Jannah cuba berbasa-basi lah pula dengan aku)
Aku: Hurm... Aku penatla.. Ingat nak tidur... (dengan intonasi penat yang dibuat-buat secara melampau, siap dengan eksperesi muka macam bohsia baru lepas digang bang beramai-ramai)
Jannah: Nanti kalau aku naik, kena buzz pintu ko jugak.
Aku: Tadaa!! (sambil menghulurkan gugusan kunci kepada beliau)

Masuk bilik, terus terbongkang. Kemudian terjaga pkul 7pm. Ya tuhan, 2 jam lagi! Sambung tidur. Dalam tengah tidur tu pun sempat lagi mimpikan air sirap limau. Sabar je la...

Sekejap terjaga, pkul 8pm. Nak sambung tidur, dah tak ngantuk. Tengok jam, 8.21pm. Ah, tolak selimut dan terus ke dapur masak nasi. Tiba-tiba Puan Jannah telefon ajak buka puasa di bilik beliau. Yahoo!! Buka puasa hari ini pukul 8.47pm dengan dua mangkuk mee maggi perasa kari dan sejag air sirap!
Heaven ooo... Terima kasih Puan Jannah dan Cik Fazilah.

Sebelum tidur, dekat-dekat setempayan juga air aku minum. Dehydrated la tadi siang...

Pengajaran hari ini:
1. Sila jangan berangan bersukan lama-lama.
2. Sila jangan banyak merungut, sebab aku rasa pahala puasa dah sekurus tuannya. Uhh....
3. Sila jaga mata anda, kerana ramai perempuan seksi berseluar pendek bermain bola tampar bersama-sama anda. (lagi2 musim2
summer ni, lagi la kan?)
4. Oh ya, aku jumpa seorang wanita bukan islam yang cuba berpuasa. Tahniah untuk beliau. Respek lah. (walaupun separuh hari katanya)

Sunday, August 23, 2009

Ganja dan Sarjana

Petang tadi singgah sebentar ke salah satu aktiviti anjuran Argo, kelab mendayung. Bertempat di tepi sungai, dengan cuaca yang terang, memang terbaik. Sedang bersembang, ditegur oleh Kamil (tak tahu macam mana ejaan yang betul) dari Jerman.

Bermula permainan teka-teki negara asal.

Kamil: You look fairer than average asian.
Aku: Really? Nooo.... (read: Ye ke.... Malu mak!)
Kamil: Thailand (entah kenapa selalu disalahanggap dari negara ini).
Aku: salah.
Kamil: Kemboja
Aku: Salah.
Kamil: Malaysia
Aku: Betul!

Katanya pernah ke Malaysia beberapa tahun lalu. Sambil-sambil menjadi guru bahasa inggeris di Kuala Lumpur.

Kamil: Which part of Malaysia?
Aku: Kuala Lumpur. (walaupun aku dari Terengganu, tapi malas nak menerangkan bila ditanya: "where?" dan mungkin terpaksa merujuk peta kemudiannya. Kompleks.)
Kamil: What? KL. So what the fuck are you doing here? If I were you I will never leave KL, man!
Aku: (Aku dah bosan la dok KL.)

Penuh semangat bercerita perihal budi bahasa masyarakat Asia. Lemah lembut gemalai segala. Alahai... Selepas seketika di KL, pulang ke Jerman, dia pun terikut2 cara bercakap orang Malaysia.

Kamil: You know man, asian people talk very polite! Shit man! (sambil melakonkan gaya yang dikatakan polite itu). After a year, I went back to Germany and suddenly I realized I also talked like them! and my friend said, "Are you drunk?". What the fuck, man!
Aku: Hehehe... (tapi sekarang dah tak lagi.. asyik mencarut!)


Kamil tu pelajar Sarjana Ekonomi. Dengar kata, dia tu kaki ganja. Siang malam layan ganja. Agaknya masa dia borak dengan aku tadi pun, di bawah pengaruh ganja. Lain macam saja semangatnya.

Alahai....

Tapi ganja-ganja dia pun, tengah buat Sarjana. Boleh tahan.
And not bad looking either. Hehehe...

Monday, August 17, 2009

Ilmu: Nilai untuk wang anda?


Makcik A: "Seorang RM10, kalau dah lima orang? Bukan ke RM50 dah?"

Ungkap seorang makcik di Masai, Johor usai ditanya perihal sekolah agama anaknya. Jika RM50 dirasakan terlalu mahal untuk ilmu, jadi berapa yang harus dibayar? RM1? Ataupun "seikhlas hati"?

Seusia 9 tahun, saya di hantar ibu untuk mengaji quran. Upah kepada si guru, hanyalah sekilo gula ataupun manisan di dalam mangkuk tingkat. Berkat ilmu yang Tok Guru ajar, saya mampu untuk membaca kitab suci walau tidak seelok tarannum Hj Mu’min Mubarouk. Itu dulu.

Yuran adalah "seikhlas hati". Tempat mengaji didirikan penduduk kampung, al-quran dibawa pelajar sendiri. Itu juga dulu.

Sekarang belajar mesti berhawa dingin, mesti berteknologi terkini, mesti berbangunan batu, mesti berkerusi meja, mesti selesa tetapi RM10 sebulan adalah terlalu mahal untuk itu semua, tidak berbaloi fikir mereka.

Pernah terjadi, seorang penceramah dibayar RM100, dalam bentuk RM1 sebanyak 100 keping sebagai tanda apresiasi selepas berjam-jam menyembur liur berkongsi pengetahuan. Itukah cara kita menunjukkan penghargaan setelah diberi ilmu yang nilainya tidak terhingga? Itukah yang terbaik kita mampu? Indah bukan?

"Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China"

Tapi jika ini budaya, pemikiran dan caranya usahkan negeri China, pondok seberang kampung belum tentu dijejaki. Harga minyak naik, jadi lebih baik jangan membazir petrol memandu. Terlalu jauh pula untuk berjalan kaki atau penat nanti kalau berbasikal di bawah terik mentari.

Masyarakat kita tidak sanggup berbelanja RM150, untuk yuran kursus. Mahal katanya untuk orang miskin macam mereka. Tapi sanggup pula berbelanja RM1500 untuk menukar sofa baru, langsir baru dan berjenisan kuih setiap kali raya. RM50 untuk tudung Dato' Siti Nurhaliza adalah berbaloi dan RM300 untuk gelang magnet buatan China merupakan pelaburan demi kesihatan yang lebih baik.


Namun apa gunanya kalau berlangsirkan satin, tafeta atau sutera shantung kalau kosong dadanya? Glamorkah bertudung bak Dato' Siti kalau beku mindanya? Mahu kemana andai sihat fizikal tapi sengsara jiwa dan rohaninya?

Jika RM10 terlalu tinggi harganya, sehingga dirasakan membazir, jadi berapa yang masyarakat sanggup bayar untuk secebis illmu yang akan dibawa mati. Ilmu yang akan menjadi amal jariah? Ilmu yang jika diamalkan dan disebarkan akan mendoakan kesejahteraan tatkala kita keseorangan di taman-taman syurga?

Sekarang krisis gula, mungkin tiada lagi manisan untuk Tok Guru. Alahai...
Saya tertanya-tanya sendiri....