Monday, August 17, 2009

Ilmu: Nilai untuk wang anda?


Makcik A: "Seorang RM10, kalau dah lima orang? Bukan ke RM50 dah?"

Ungkap seorang makcik di Masai, Johor usai ditanya perihal sekolah agama anaknya. Jika RM50 dirasakan terlalu mahal untuk ilmu, jadi berapa yang harus dibayar? RM1? Ataupun "seikhlas hati"?

Seusia 9 tahun, saya di hantar ibu untuk mengaji quran. Upah kepada si guru, hanyalah sekilo gula ataupun manisan di dalam mangkuk tingkat. Berkat ilmu yang Tok Guru ajar, saya mampu untuk membaca kitab suci walau tidak seelok tarannum Hj Mu’min Mubarouk. Itu dulu.

Yuran adalah "seikhlas hati". Tempat mengaji didirikan penduduk kampung, al-quran dibawa pelajar sendiri. Itu juga dulu.

Sekarang belajar mesti berhawa dingin, mesti berteknologi terkini, mesti berbangunan batu, mesti berkerusi meja, mesti selesa tetapi RM10 sebulan adalah terlalu mahal untuk itu semua, tidak berbaloi fikir mereka.

Pernah terjadi, seorang penceramah dibayar RM100, dalam bentuk RM1 sebanyak 100 keping sebagai tanda apresiasi selepas berjam-jam menyembur liur berkongsi pengetahuan. Itukah cara kita menunjukkan penghargaan setelah diberi ilmu yang nilainya tidak terhingga? Itukah yang terbaik kita mampu? Indah bukan?

"Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China"

Tapi jika ini budaya, pemikiran dan caranya usahkan negeri China, pondok seberang kampung belum tentu dijejaki. Harga minyak naik, jadi lebih baik jangan membazir petrol memandu. Terlalu jauh pula untuk berjalan kaki atau penat nanti kalau berbasikal di bawah terik mentari.

Masyarakat kita tidak sanggup berbelanja RM150, untuk yuran kursus. Mahal katanya untuk orang miskin macam mereka. Tapi sanggup pula berbelanja RM1500 untuk menukar sofa baru, langsir baru dan berjenisan kuih setiap kali raya. RM50 untuk tudung Dato' Siti Nurhaliza adalah berbaloi dan RM300 untuk gelang magnet buatan China merupakan pelaburan demi kesihatan yang lebih baik.


Namun apa gunanya kalau berlangsirkan satin, tafeta atau sutera shantung kalau kosong dadanya? Glamorkah bertudung bak Dato' Siti kalau beku mindanya? Mahu kemana andai sihat fizikal tapi sengsara jiwa dan rohaninya?

Jika RM10 terlalu tinggi harganya, sehingga dirasakan membazir, jadi berapa yang masyarakat sanggup bayar untuk secebis illmu yang akan dibawa mati. Ilmu yang akan menjadi amal jariah? Ilmu yang jika diamalkan dan disebarkan akan mendoakan kesejahteraan tatkala kita keseorangan di taman-taman syurga?

Sekarang krisis gula, mungkin tiada lagi manisan untuk Tok Guru. Alahai...
Saya tertanya-tanya sendiri....

1 comment:

Anonymous said...

tanye diri sendiri...dah dpt jawapan belum?hehehe

so, nie dah menuntut ilmu sampai 'netherland', belanja nyer pun dah byk...pe yg di'plan' utk masa depan?

saidah