Sunday, November 1, 2009

Ya ALLAH, inikah petunjukMu?

Assalamualaikum w.b.t.

Pertama sekali, tujuan CB tulis entri ini bukanlah untuk membuka pekung di dada, tetapi sekadar untuk berkongsi. Dengan sesiapa sahaja yang sudi membaca.

Semalam sebelum tidur, tiba-tiba terdetik di fikiran yang CB sudah hampir lupa bagaimana membaca ayat qursi. Astaghfirullahalazim...

CB cuba membacanya berulang kali. Tapi CB hanya mampu teruskan sekadar separuh. Tidak sempurna lagi bacaan CB itu. Berkali-kali diulang sehinggalah CB tertidur... Memasuki minda separuh sedar, CB berada di rumah. Terengganu.

Suasana di rumah ketika itu gelap. Kelam. Sepi. CB seorang diri... Tapi hati CB ketika itu berasa gentar dan takut. Jiwa CB tak tenteram. Hati CB berbicara sendiri. Bahawa lain kali CB tak akan tidur di rumah seorang diri lagi...

Kemudian, plot bertukar. Masih dirumah yang sama, malam. Tiada sebarang cahaya di rumah ketika itu. Tapi CB dikelilingi adik beradik. Kami memegang erat tangan satu sama lain. Kemudian bagaikan mencari sesuatu, kami berjalan menuju ke dapur rumah. Di sebalik dinding, kami terlihat sekujur tubuh, di dalam kedudukan tahiyat akhir sedang berzikir. Badanya diselimuti telekung putih.

Dengan serta merta kami tahu, itu ibu. Tempat itu, tingkat atas rumah CB adalah tempat ibu selalu menunaikan solat. Setiap hari... Tapi itu beberapa tahun yang lalu. Tiada sesiapa yang pernah naik ke bahagian itu lagi sejak ayah ubahsuai rumah di bahagian bawah.

Kami, berpegangan tangan menuju ke arah ibu. Wanita separuh abad itu berpaling kepada kami. Mukanya suram dan sedih. Dia berkata:

"Dulu ketika aku bangun untuk solat subuh, mata ini selalu melihat kamu anak-anakku bergelimpangan tidur..."

Kemudian anak saudara CB mencelah, bertanya kepada ibunya:

"Bercakap dengan siapa? Tak nampak sesiapa pun? Dengan hantu ke?"

Hati CB ketika itu meronta-ronta ingin pergi dari situasi itu... CB takut.
Kemudian CB terjaga.

Serta merta CB beristighfar, berzikir dan cuba untuk tidur semula. Syukur masih tahu beristighfar. Tapi mata ini enggan tertutup. Minda ini masih bergolak dengan pengalaman tadi.

Kemudian CB terdetik, sudah lama telinga ini tidak didengarkan bacaan ayat-ayat suci, memuji Mu. Sudah lama lidah kurniaanMu ini tidak CB gunakan untuk mengalunkan wahyumu... CB hanyut... CB alpa di dalam kehidupan dunia...

Sudah terlalu lama telinga ini disuap lagu-lagu yang melalaikan. Lidah ini menyanyikan irama yang lagha... Hati CB kotor. Roh CB kebuluran. Tiada santapan rohani untuk jiwa CB...

Bingkas CB bangkit dan memasang bacaan Yasin dan ayat qursi sambil menaip entri ini...

Hampir setahun yang lalu, CB juga pernah mengalami mimpi yang juga pelik. Di mana suara lelaki yang sangat kuat menjerit kepada CB:

"Yaaa... Muhammad!!!"

Di saat itu juga CB terjaga. Hati CB berdegup kencang...

Apakah ini petunjukMu ya Allah?

Subhanallah...
Astaghfirullahalazim...

Ampunkan dosaku... Sesungguhnya selama ini aku alpa, selama ini aku lalai, selama ini aku hanyut dalam kesenangan dunia. Aku tenggelam dalam rahmatMu tanpa tahu berterima kasih kepadaMu...

Ampunkan aku Ya Allah...

3 comments:

Tautan_Hati said...

berkat namamu Muhammad

akukanbaik said...

u ols..
story ko yg syahdu ni memulakan pagi isnin aku..huhuhu
insaf aku.diri ini pon sudah lama tak mengalunkan irama2 wahyu-Nya
astaghafirullahalazim

~~DucKneSs~~ said...

maybe tu peringatan kat CB..
supaya tak hanyut..
tambah2 di perantauan yg amat mencabar..
femli n kawan jauh di mata..
xdapat nak tegur kalo salah pape..
wishing u all the best..